Thursday, December 2, 2010

DON'T BE SAD 6

BERHARAPLAH AKAN REDA ALLAH SEMATA

Tabiat untuk mengingkari, membangkang dan meremehkan suatu kenikmatan adalah penyakit yang umum menimpa jiwa manusia. Kerana itu, anda tidak perlu hairan dan resah apabila mendapati mereka mengingkari kebaikan yang pernah anda berikan, mencampakkan budi baik yang telah anda tunjukkan, serta melupakan bakti yang telah anda persembahkan. Bahkan, anda tidak usah resah apabila mereka pun memusuhi anda dengan sangat keji dan membenci anda sampai mendarah daging, sebab semua itu mereka lakukan adalah jesteru kerana anda berbuat kepada mereka.

Cuba anda buka kembali catatan dunia tentang perjalanan hidup ini! Dalam salah satu babnya diceritakan: seorang ayah telah memelihara anaknya dengan baik; dia memberinya makan, minum dan pakaian, mendidiknya hingga menjadi orang pandai, rela tidak tidur demi anaknya, rela untuk tidak makan asal anaknya kenyang dan bahkan bersusah payah agar anaknya bahagia. Namun sebaliknya, ketika sudah berkumis lebat dan kuat tulang-tulangnya, tiba-tiba dia menjadi seperti anjing liar, meremehkan jasa orang tuanya. Dia tidak hanya berani menghina, tetapi juga melecehkan, acuh tak acuh, bongkak dan derhaka terhadap orang tuanya. Dan semua itu, dia tunjukkan dengan perkataan dan juga tindakan.

Berbuatlah kebaikan hanya demi Allah semata, maka anda akan menguasai keadaan, tidak akan terusik oleh kebencian mereka dan tidak akan merasa terancam oleh perlakuan keji mereka! Anda harus bersyukur kepada Allah kerana dapat berbuat baik ketika orang lain di sekitar anda berbuat jahat. Dan , ketahuilah bahawa tangan di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah.

(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih."
(Al-Insan: 9)




1 comment: